Kuali pintar hantar notifikasi hidangan siap dimasak


Sesiapa sahaja yang pernah ke dapur pasti pernah merasai pengalaman menyediakan telur yang terlebih masak, stik yang kurang empuk, atau ayam goreng hangus.

Pengalaman ini memberi ide kepada dua rakan karib di Massachusetts Institute of Technology (MIT) untuk tampil dengan Pantelligent, kuali penggoreng yang dilengkapi dengan teknologi Bluetooth yang boleh digandingkan dengan telefon pintar untuk membantu pengguna memasak, lapor Mashable.

Peranti Bluetooth yang disambung dengan pengukur suhu itu akan menghantar maklumat penting ke telefon bimbit seperti masa yang sesuai untuk menuang minyak ke dalam kuali yang cukup panas, atau memberitahu pengguna bahawa stik sudah mencapai tahap medium rare.

Aplikasi Pantelligent turut menyediakan resepi masakan dan membantu pengguna dengan menghantar notifikasi berkenaan resepi tersebut.

Misalnya, dalam resepi penkek, notifikasi akan dihantar untuk memberitahu pengguna masa yang sesuai untuk menterbalikkan penkek agar tidak hangit.

Selagi anda memasukkan maklumat resepi yang ingin disediakan dengan betul, aplikasi dan kuali Pantelligent akan menjadi pembantu tanpa perlu menggunakan buku resepi, atau termometer masakan.

Pantelligent merupakan produk ciptaan Humberto Evans dan Mike Robbins. Mereka memulakan kempen Kickstarter pada November 2014 untuk mengumpul 30 ribu dolar AS bagi membiayai projek tersebut. Sasaran tersebut dicapai hanya dalam tempoh tiga hari.

Menurut laman sesawang Pantelligent, kuali tersebut kini telah habis dijual dan tempahan diterima untuk pengeluaran produk akan datang.

 
Copyright © 2005 Tech Rawang - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info