DIGI bakal sedia hubungan M2M bagi kereta Tesla di Malaysia


SUBANG JAYA: Digi.Com Bhd bakal menyediakan hubungan mesin-ke-mesin (M2M) bagi kereta Tesla susulan kerjasamanya dengan Perbadanan Teknologi Hijau Malaysia (Greentech) yang bertanggungjawab untuk membawa masuk kenderaan itu ke Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Albern Murthy berkata syarikat telekomunikasi itu bekerjasama dengan Tesla untuk menguji rangkaian hubungan tersebut menggunakan pelan Digi dan penyelesaian telematik Tesla ke atas kereta tersebut.

"Mereka bekerjasama dengan pasukan kami tentang bagaimana kereta itu dapat dikesan oleh pengguna daripada telefon bimbit dan lainnya.

"Terlalu awal untuk menyatakan bila Tesla akan menggunakan rangkaian hubungan kami, tetapi kami berada di barisan hadapan dan melakukan ujian bersama dengan mereka," katanya kepada pemberita pada Digi Digital Day di sini hari ini.

Kumpulan pertama 10 kereta Tesla Model S telah dibawa masuk ke Malaysia oleh Greentech, baru-baru ini.

Pada Februari 2016, kerajaan membenarkan pengimportan 100 unit kereta Tesla Model S secara bebas cukai sebagai sebahagian daripada usahanya untuk mempromosi kenderaan elektrik.

Mengenai hubungan M2M, Albern berkata penyelesaian M2M bukan baharu kepada Digi berikutan ia telah menyediakan hampir kepada 100,000 hubungan M2M dan syarikat berharap untuk menjadi sebahagian daripada automasi dan 'Internet of Things'.

"Pada masa depan, kami memerlukan 70 peratus daripada pertumbuhan melalui perniagaan teras dan 30 peratus daripada produk dan perkhidmatan baharu.

"Dan kami memanfaatkan ini atas apa yang kami miliki hari ini di rangkaian kami, keupayaan, saluran titik sentuh dan pengalaman pelanggan," katanya.

Digi turut merancang untuk melaksanakan konsep baharu bagi kedai runcitnya, yang akan mempunyai lebih banyak kerjasama digital dan penglibatan dengan pelanggan serta menyasarkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada 30 kedai runcitnya di seluruh negara dengan konsep baharu ini pada tahun depan, kata Albern.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Greentech Ahmad Hadri Haris berkata antara aspek yang dipersetujui dengan Tesla apabila ia mahu membawa masuk kereta tersebut adalah membolehkan rangkaian hubungan untuk kereta dengan menyediakan kemas kini perisian.

Beliau berkata Greentech sedang mencari syarikat telekomunikasi dengan pandangan ke hadapan dan idea inovatif yang boleh bekerjasama dengan mereka dan memilih Digi selepas berunding dengan syarikat telekomunikasi itu pada pertengahan tahun ini.

"Ini merupakan permulaan, jika terdapat kereta lain yang mahu menggunakan komunikasi ini dalam peranti mereka, mungkin Digi boleh menjadi peneraju dalam aspek ini," katanya. -- Bernama
 
Copyright © 2005 Tech Rawang - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info